Akaun bisnes kecil cara mudah
Ramai usahawan baru atau pekerja makan gaji yang baru
berjinak-jinak dengan bisnes part-time, menghubungi saya untuk bertanya
mengenai bagaimana menyimpan akaun perniagaan. Mereka ini terdiri
daripada peniaga kecil yang berniaga produk-produk seperti cupcake,
pakaian bayi, tudung, aksesori wanita, secara kecil-kecilan sama ada
online atau offline.
Pertama sekali, tahniah diucapkan kerana anda semua berani
menceburkan diri ke alam perniagaan. Bukan senang nak buat perniagaan
walaupun kecil. Saya menyokong niat suci anda dan mendoakan perniagaan
anda berjaya.
Saya ingin menceritakan di sini bahawa penyimpanan rekod dan akaun
perniagaan adalah suatu yang mudah. Tak perlu lah anda risau melampau
takut diaudit oleh LHDN atau pening kepala kerana tak pandai buat akaun.
Menyimpan akaun ini boleh dilakukan walaupun perniagaan anda masih
kecil, hatta jika anda menjual barang di eBay sekalipun.
Mereka (peniaga kecil) merungut kepada saya bahawa mereka pernah
bertanya soalan ini kepada kawan-kawan mereka yang belajar jurusan
accountancy. Para akauntan ini memberikan jawapan yang rumit mengenai
sistem akaun seakan-akan peniaga ingin membuka perniagaan jutaan
ringgit. Perlu ada general ledger, double entry bookkeeping system, this
and that statement, etc. sehinggakan kakak yang ingin menjual tudung di
ofis pun jadi takut mengenai akaun.
Saya ingin menghuraikan cara mudah menyimpan akaun dan rekod
perniagaan anda. Dengan menyimpan rekod yang lengkap, anda dapat melihat
perkembangan perniagaan anda dan membuat rancangan untuk mengembangkan
perniagaan ke tahap seterusnya.
(DISCLAIMER: segala yang ditulis dalam entri ini adalah cadangan
peribadi penulis semata-mata. Penulis tidak bertanggungjawab atas segala
yang berlaku natijah daripada anda mengikuti cadangan penulis).
Berikut adalah langkah-langkah menyimpan rekod perniagaan dengan
mudah, tanpa memeningkan kepala mempelajari sistem perakaunan yang
susah-susah:
1. Akaun bank berasingan
Walaupun anda berniaga kecil-kecilan tanpa mendaftarkan syarikat,
anda sepatutnya mengasingkan duit peribadi anda daripada duit
perniagaan. Jika anda sudah mendaftarkan perniagaan (samada bentuk
pemilik tunggal, perkongsian atau Sdn Bhd), maka lebih wajiblah anda
membuka akaun bank untuk perniagaan dan mengasingkan wang peribadi anda
daripadanya.
Jika anda tidak mendaftarkan perniagaan, buka akaun bank kedua atas
nama anda untuk menyimpan tunai yang terhasil dari perniagaan anda.
Simpan semua rekod transaksi bank tersebut. Penyata bulanan bank anda
adalah dokumen terpenting dalam perniagaan anda. Dengan penyata inilah
anda dapat melihat tahap “kesihatan” perniagaan anda. Untuk yang nak
memohon kemudahan kewangan daripada bank atau agensi kerajaan, penyata
bank adalah dokumen utama yang disemak oleh pegawai pinjaman.
Adalah sangat penting anda mengasingkan duit perniagaan dengan duit
peribadi. Setiap transaksi antara kedua-dua akaun tersebut mestilah
dicatat. Jangan campur aduk wang peribadi dengan perniagaan. Ini adalah langkah pertama yang anda perlu ambil untuk menyimpan rekod perniagaan yang bersih.
2. Kos inventori (Belian)
Perkara kedua yang perlu anda buat setelah membuka akaun bank ialah
membeli barangan yang akan dijual atau inventori. Barangan ini boleh
jadi dalam bentuk bahan mentah (tepung, gula, icing, etc jika anda
membuat cupcake) atau bahan siap (contoh: beg tangan, kasut).
Rekod kesemua kos tersebut dengan lengkap: tarikh, item, kuantiti,
harga, nama penjual. Itu sahaja. Pastikan anda menyimpan resit bagi
semua transaksi yang anda buat.
Catat semua belian anda di dalam satu jadual (hardcopy atau Excel).
Column yang perlu ada ialah tarikh, item, kuantiti, harga, dan penjual.
Saya membuat andaian kesemua jualan anda adalah dalam bentuk tunai,
bukannya kredit. Perniagaan kecil biasanya menggunakan tunai sahaja.
3. Jualan
Sekali lagi, saya membuat andaian kesemua jualan anda adalah dalam
bentuk tunai (jika tidak, mungkin entri ini tak sesuai untuk anda).
Tunai adalah “lifeblood” bagi perniagaan kecil, jadi pastikan setiap
jualan anda dilangsaikan dengan tunai tanpa ada tempoh hutang.
Untuk setiap jualan, anda perlu mencatit maklumat berikut: tarikh,
item, kuantiti, harga, diskaun (jika ada), nama pembeli. Pastikan setiap
transaksi direkod dengan menyimpan resit atau slip pembayaran.
Catat semua jualan anda di dalam satu jadual (hardcopy atau worksheet
Excel). Sekarang kita sudah ada dua jadual, Belian dan Jualan.
4. Kos-kos lain (Expenses)
Expenses ialah segala kos yang ditanggung dalam perniagaan selain
daripada kos membeli bahan mentah dan menghasilkan produk siap untuk
dijual. Ini termasuklah pengangkutan, postage, printing, bil
elektrik/air/telefon, sewa pejabat, gaji pekerja, marketing, packaging,
dan sebagainya.
Sekali lagi, saya menganggap setiap kos-kos tersebut dilangsaikan
dalam bentuk tunai (sesuai untuk perniagaan kecil). Catat setiap
expenses tersebut dan rekod dalam satu jadual hardcopy atau Excel
worksheet. Ini adalah jadual ketiga anda, selepas Belian dan Jualan.
5. Ambilan dan Modal
Ambilan dan Modal adalah pertukaran wang/produk antara akaun peribadi
dan akaun perniagaan. Contohnya, jika anda ingin mengambil satu pasang
pakaian bayi dalam inventori anda untuk digunakan oleh anak anda
sendiri, ini dikira sebagai ambilan. Begitu juga jika anda ingin
mengambil wang daripada akaun perniagaan untuk digunakan secara
peribadi. Ini juga wajib direkod.
Modal adalah sebaliknya: menggunakan wang peribadi untuk kegunaan
perniagaan, atau menggunakan perkakas peribadi untuk kegunaan
perniagaan. Ini juga perlu dicatat.
Setiap duit yang bertukar tangan antara akaun peribadi dengan akaun
perniagaan anda mesti dicatat, sama ada sebagai ambilan (perniagaan
–> peribadi) atau sebagai modal (peribadi –> perniagaan).
_______________________________________
Sekarang kita sudah ada 5 Jadual: Belian, Jualan, Expenses, Ambilan
dan Modal. Ini sudah cukup untuk kegunaan peniaga-peniaga kecil yang
membuat all-cash transaction, iaitu tiada belian atau jualan kredit,
atau pinjaman.
Pastikan duit yang diterima daripada jualan dimasukkan ke dalam bank
dengan kerap supaya baki bank anda melambangkan wang yang dimiliki oleh
perniagaan anda dengan tepat. Sebaik-baiknya minta pembeli bank-in terus
bayaran ke dalam akaun anda.
Saya pernah berborak dengan seorang taukeh kedai Mamak di KL yang
memberitahu saya bahawa beliau mempunyai seorang staff yang kerjanya
pergi ke bank setiap 30 minit untuk deposit semua wang tunai yang
diterima di cash register machine.
Kurangkan simpan duit dalam bentuk petty cash (di luar bank)
melainkan untuk beberapa expenses yang tertentu sahaja. Menyimpan petty
cash yang banyak boleh meningkatkan nafsu anda untuk mengambil duit itu
untuk berbelanja untuk kegunaan peribadi. Dengan ini, tunai bisnes anda
akan berkurang.
Guna cek untuk membayar bil, gaji pekerja dan supplier untuk
meningkatkan aktiviti akaun bank anda. Kos sekeping cek ialah lebih
kurang RM0.50.
Kadangkala anda diminta untuk memberi akaun kewangan yang lengkap
untuk disemak. Akaun kewangan lengkap terdiri daripada tiga dokumen:
income statement, cashflow statement, dan balance sheet. Anda akan
diminta menyiapkan ketiga-tiga dokumen ini kalau anda ingin membuat
pinjaman, atau ingin memohon geran.
Anda boleh membina ketiga-tiga dokumen tersebut dengan 5 Jadual yang
saya huraikan tadi — Belian, Jualan, Expenses, Ambilan dan Modal. Tak
perlu pening-pening kepala, cuma tunjukkan 5 jadual tersebut kepada
rakan anda yang pernah belajar accountancy, nescaya rakan anda itu boleh
menghasilkan IS/CF/BS untuk perniagaan anda.
Anda seharusnya membiasakan diri anda menyimpan rekod perniagaan yang
lengkap walaupun perniagaan anda masih kecil (e.g. menjadi pengedar
produk atau menjual barangan di pejabat secara part-time). Dengan
menyimpan rekod perniagaan, anda dapat mengkaji untung rugi perniagaan
anda, disamping membolehkan anda mengembangkan perniagaan anda di masa
hadapan.
Menyimpan rekod bagi perniagaan kecil adalah mudah, tak perlu degree
accountancy atau pergi kursus-kursus yang mahal. Anda cuma perlu simpan 5
Jadual sahaja — Belian, Jualan, Expenses, Ambilan dan Modal. Semua
transaksi yang penting dalam perniagaan kecil terkandung dalam
kelima-lima jadual tersebut.
Jika perniagaan anda dah besar nanti, baru anda perlu fikir mengenai
sistem perakaunan yang canggih-canggih. Untuk peniaga kecil, fokus untuk
kembangkan perniagaan dan banyakkan cash sales anda. Gunakan sistem
menyimpan rekod yang mudah dahulu.
Semoga berjaya!
Terima Kasih
sumber: https://suhaimiramly.wordpress.com/2010/09/27/akaun-bisnes-kecil-cara-mudah/?blogsub=confirming#subscribe-blog

